27 Julai 2012

PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH



Isu pendidikan seks di sekolah  bukanlah sesuatu yang baru diperkatakan, malah banyak kali cuba diterapkan di sekolah tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Antara tujuan kerajaan mengadakan subjek tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai perkara-perkara berkaitan seks dan anatomi tubuh badan manusia. Rasionalnya adalah untuk menangani gejala sosial dikalangan remaja terutamanya jenayah rogol, cabul, zina serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.

Terdapat pro dan kontra yang mungkin timbul daripada implimentasi mata pelajaran pendidikan seks di sekolah tersebut.

Antara kebaikannya ialah:

1. Melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.

2. Mengenal pasti dan membezakan nilai murni kemanusiaan dan kehidupan dengan lebih rasional.

3. Meningkatkan keprihatinan remaja terhadap gejala negatif seks.

4. Mengubah tanggapan remaja terhadap seks kepada persepsi yang lebih insani dan suci
5. Mengetahui kaedah yang boleh mengelakkan kehamilan.

6. Menghindari daripada dijangkiti penyakit yang merebak melalui hubungan kelamin.

7. Meningkatkan  keyakinan membincangkan isu seks dan mengadukan masalah yang mereka hadapi atau berusaha mencari penyelesaiannya.

8. Menggelakkan remaja dari mudah terpengaruh dan terbabit dengan kegiatan maksiat.

9. Menyedarkan remaja tentang peranan dan fungsi lelaki sebagai pelindung dan penjaga wanita.

10. Mengetahui peranan ibu bapa serta penekanan terhadap pentingnya institusi kekeluargaan

Antara keburukannya ialah:

1. Remaja menganggap seks dari aspek yang berasingan.
2. Kerosakan kepada norma sosial dan nilai keagamaan yang sukar diperbaiki.

3. Merangsang keinginan mencuba melakukan hubungan jantina dalam kalangan remaja.

4. Kecenderungan meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada pengetahuan semata-mata untuk mengubah sikap dan tingkah laku adalah berbahaya.

5. Remaja akan menggunakan kaedah mencegah kehamilan dengan lebih kerap untuk melakukan apa yang digelar sebagai seks selamat.

BUDAYA “ RAGGING DI SEKOLAH ”



Benda sudah pun terjadi. Seorang lagi pelapis negara “gugur” sebelum berjuang apabila dibunuh rakan seperjuangan sendiri. Berteriak pun tiada gunanya. Yang perlunya sekarang, apa langkah-langkah yang telah dibuat sebelum ini dan akan datang bagi membanteras kes buli sampai mati ini? Kes buli di sekolah di kalangan pelajar-pelajar sudah lama dah. Yang lebih tepatnya kes buli pelajar senior vs pelajar junior. Biasanya sekolah yang mengandungi pelajar asrama daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 sangat-sangat ketara kes bulinya disebabkan jurang usia berbanding sekolah berasrama yang mengandungi tingkatan 4 dan tingkatan 5 sahaja. Kes buli juga lebih kuat dan keras bagi sekolah berasrama yang mengandungi pelajar lelaki semata.
Keluarga hantar anak untuk menuntut ilmu tetapi kematian yang mereka terima. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Makin lama makin bertambah teruk dan serius kes buli di sekolah di kalangan pelajar-pelajar. Kalau dahulu “ragging di sekolah” lebih bersifat untuk menanam perasaan hormat dan memupuk semangat silaturahim antara pelajar senior dan junior. Tetapi sekarang, masing-masing mahu tunjukkan kekuasaan mereka dan menanam perasaan takut antara pelajar senior dengan pelajar junior.
“Hormat tidak perlu dipaksa, ditekan dan disuruh tetapi sebaliknya perlu dipupuk dengan cara yang betul”. Dahulu ragging memang amalan biasa di mana-mana sekolah tetapi tiadalah sehingga sampai memberikan kecederaan kepada pelajar. Apa motif ragging sebenarnya?
§  Untuk menyamaratakan taraf samada yang datang daripada golongan susah mahupun golongan yang berada. Dilatih untuk bekerjasama, mula daripada bangun tidur dan mengemas bilik, minum pagi bersama, pergi ke kelas, makan tengahari bersama, rehat dan sebelah petang bersukan bersama.
§  Saling hormat menghormati antara junior dan senior supaya sebarang program dan perjalanan di asrama berjalan lancer.
§  Tiada seorang yang akan boleh tertinggal atau tak mahu mengikut program yang diatur.
§  Kalau ada yang keras kepala, semestinya akan mendapat “lebih perhatian dari pelajar-pelajar senior” akan didenda dengan tujuan mendidik dan diberikan peringatan bukannya menghukum.
§  Dengan itu, terhasillah pelajar asrama yang berdisiplin.



 CONTOH KES BULI :

Kita pasti dah mengetahui kes kematian seorang pelajar, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri (16 tahun) yang merupakan pelajar Maktab Tentera Diraja setelah tidak sedarkan diri selepas dikenakan hukuman tekan tubi dan ditendang oleh rakannya di dalam sebuah bilik di sekolah itu, awal pagi pada 24 Jun 2010. Sedikit sebanyak rentetan ringkas kejadian tersebut ada di bawah ini:
1.   Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri merupakan anak sulung, datang dari keluarga susah tapi keputusan PMR cemerlang dan masuk Maktab Tentera Diraja (MTD) pada Februari 2010.
2.   Aktif main ragbi dan sepatutnya ada kejohanan ragbi SMSS pada minggu tersebut.
3.   Kemudian datang pula pelajar-pelajar yang berlagak samseng kepada adik Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri dan diberikan hukuman tekan tubi.
4.   Sekitar pukul 10:45 malam (23 Jun 2010) sedang Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri melakukan tekan tubi itu,  seorang pelajar MTD telah menendang perutnya sekali menyebabkan mangsa yang cuba berdiri dan berjalan menjadi tidak stabil dan kemudiannya terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai sebelum tidak sedarkan diri.
5.   Seorang anggota tentera yang bertugas di MTD menerima maklumat bahawa pelajar terbabit pengsan di biliknya pada pukul 12.15 tengah malam.
6.   Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan diberikan rawatan kecemasan selama 50 minit.
7.   Pelajar malang tersebut, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sempat diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 1.20 pagi.
8.   Laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada pukul 2 pagi (24 Jun 2010).
9.   Jenazah Mohammad Naim Mustaqim selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru, Siong pada sebelah malam.
10.Kes ni sudah dalam BOI (board of investigation) tentera dan jadi kes polis juga.
11. Polis menahan lima pelajar tingkatan 5 Maktab Tentera Diraja (MTD) selepas diserahkan oleh pihak tentera kepada pihak polis.


26 Julai 2012

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja


............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.


............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’. Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintik’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasi bersama-sama.


............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Subjek Sejarah Pula !!!!


Belum selesai lagi perbincangan tentang isu subjek Bahasa Inggeris, kita dihidangkan pula dengan isu mewajibkan subjek Sejarah di peringkat Sekolah Rendah. Wah, sememangnya satu transformasi hebat sedang berlaku dalam 'industri' pendidikan tanah air! Subjek Sejarah sering dilihat sebagai satu subjek yang membosankan, lapuk, dan penuh dengan satu perasaan 'benci' yang diterjemahkan dalam bentuk "MENGANTUK"!

Tapi, ada juga yang menganggap subjek ini sebagai satu subjek yang sangat menarik. Ya, menarik untuk mengetahui kisah silam pembentukan negara, mengenali dan menghargai perjuangan pejuang-pejuang bangsa, agama, dan negara dalam usaha untuk memerdekakan tanah air ini. Semua mengakui, dengan mempelajari dan mendalami sejarah negara, semangat patriotisme dalam diri dapat dipupuk dan ditingkatkan. Selain menambah kecintaan dan kesyukuran terhadap nikmat yang diperoleh pada masa kini hasil daripada perjuangan terdahulu. Mendalami sejarah negara juga dapat memupuk perpaduan di kalangan bangsa yang pelbagai ini, justeru kesefahaman antara kita dapat ditingkatkan.

Usul mewajibkan subjek Sejarah di peringkat sekolah rendah merupakan satu tindakan yang bagus; akan tetapi, pendekatan daripada seorang guru kepada murid-murid perlu lah bersesuaian dengan tahap pemikiran mereka. Mungkin kandungan buku teks yang berbentuk ilustrasi dan penceritaan lebih membantu kefahaman murid-murid, daripada huraian dan karangan (teks) yang berjela-jela panjangnya. Perlu dipastikan juga pihak sekolah terutamanya para pengajar perlulah bersedia dan mendalami subjek Sejarah ini sepenuhnya. 

Nescaya, jika kena pada caranya, subjek Sejarah ini akan jadi lebih menarik dan sentiasa diminati oleh murid-murid.

Sejarah negara bukan hanya perlu didalami setakat di bangku sekolah, malah perlu diingati sampai mati.




22 Julai 2012

Selamat Datang

Assalamualaikum W.B.T

Selamat Datang kepada pengunjung blog ini.

Di sini, isu-isu pendidikan akan dibincangkan.

Selamat Berkongsi. :)