Kita dan Alam Sekitar

Ramai orang kini sedar tentang kemerosotan alam sekitar. Bagi tempat-tempat tertentu kemerosotan alam sekitar telah mencapai krisis dan boleh dianggap sebagai bencana. Sebagai contohnya, kebocoran loji nuclear di Chernoby, Ukraine ( dulunya dalam kesatuan Soviet ) telah merosakkan alam sekitarnya tanpa dapat diperbaiki dan masih menjadi ancaman kepada penduduk sekitar dan alam sekeliling. Media massa sering membawa berita tentang aspek kemerosotan alam sekitar alam sekitar, dan tidak kurang juga orang perseorangan menyuarakan tentang keadaan alam sekitar itu dalam media tersebut. Antara perkara yang diberi perhatian termasuklah keadaan pencemaran di Bandar-bandar besar, kesesakan lalu lintas di Bandar, banjir kilat, pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih.Selain itu, penebangan hutan tak terkawal dan kepupusan pelbagai spesis flora dan fauna juga turut diberi perhatian.



Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa depan akan menwarisi masalah yang diwujudkan pada masa ini. Oleh itu, timbullah pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut.

bacaan lanjut SILA KLIK : http://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu-isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&Itemid=93&lang=en


Manusia dan Alam

Malaysia adalah negara yang kaya dengan sumber semula jadi.Sumber-sumber ini terdiri daripada pelbagai spesis flora dan fauna, bahan mineral, tanah yang subur, air minuman yang bersih dan antara hutan hujan tertua di dunia.

Ditambah pula dengan ekonomi negara yang kukuh, rakyat Malaysia mudah memperoleh segala keperluan asas mereka. Adalah mudah untuk bersikap sambil lewa dan menganggap sumber-sumber iniadalah tidak terhad. Sebenarnya, sumber-sumber alam semakin berkurangan.

Pemusnahan hutan, pemanasan global dan kekurangan air bersih adalah antara isu-isu yang sedang dihadapi oleh negara-negara di seluruh dunia. Satu-satunya cara untuk memastikan kelangsungan hidup kita adalah dengan menjaga alam sekitar secara aktif.

Sila KLIK : http://www.malaysia.gov.my/BM/Relevant%20Topics/Society%20and%20Life/Citizen/SocialWelfareandCommunication/Environment/Pages/myEnvironment.aspx





KEMPEN HIJAUKAN BUMI

2/09/2012 - 07:53:02 AM Cetak Emel Kawan

Sasaran tanam 26 juta pokok usaha kerajaan tangani krisis iklim

UNTUK menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen paling penting yang perlu dititikberatkan. Bagaimanapun untuk berada dalam suasana alam sekitar bersih dan selamat, masyarakat perlu bersatu padu berusaha melestarikannya.
Bagi memastikan rakyat negara ini dapat hidup dalam suasana kehijauan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melancarkan kempen ‘Menanam 26 Juta Pokok’ yang bertemakan ‘Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok’.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, berkata kempen ini memilih untuk menanam 26 juta pokok kerana ia bersamaan dengan jumlah penduduk Malaysia masa kini.

“Untuk melaksanakan kempen penanaman pokok ini, kita menggunakan slogan ‘Satu Warga Satu Pokok’ dan ia selari dengan slogan 1Malaysia. Adalah menjadi keperluan buat kita untuk menanam pokok di seluruh negara.

“Bagi melaksanakannya kita menganggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan berkurangan, kawasan hutan sudah dibalak dan kawasan pesisiran pantai negara akan ditanam di bawah kempen ini menjelang 2014” katanya.
Douglas berkata, Putrajaya juga menjadi kawasan tumpuan untuk kempen ini kerana banyak kawasan lapang yang masih belum ditanam dengan pokok di situ.

Untuk melaksanakan kempen ini, ia akan diagih-agihkan supaya setiap negeri memainkan peranan masing-masing untuk memulihkan kawasan hutan yang semakin merosot bagi memastikan 60 peratus daripada keluasan tanah di Malaysia diliputi hutan.

Hingga kini, Malaysia hanya diliputi 56.4 peratus kawasan berhutan, walaupun angka itu dilihat besar, apatah lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Persidangan Rio pada 1992, meletakkan komitmen sebanyak 50 peratus kawasan Malaysia diliputi hutan, tetapi kerajaan memikirkan adalah wajar kawasan hutan di negara ini berada dalam lingkungan 60 peratus.

Justeru, kempen yang dilancarkan ini adalah komitmen kerajaan bagi menangani isu perubahan iklim.

Berhubung jenis pokok yang ditanam sempena kempen ini, Douglas berkata, pokok dipilih mengikut kesesuaian tanah supaya pokok berkenaan dapat tumbuh dengan baik bagi mencapai sasaran penanaman 26 juta pokok.

Berdasarkan pengalamannya mengendalikan program tanaman pokok, kadangkala pokok tidak sesuai dengan tanah menyebabkan kadar pertumbuhannya rendah.

Justeru, tanggungjawab diberikan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Sarawak bagi membantu mengenal pasti pokok sesuai ditanam di tempat tertentu.

Sehubungan itu, dengan memberi fokus kepada pokok sesuai dengan tanah, diharapkan kadar pokok yang hidup adalah tinggi iaitu di sekitar 70 peratus.




Proses penanaman pokok itu mengambil masa lima tahun dan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh berkenaan di seluruh negara, manakala pemantauannya akan dilakukan Jabatan Perhutanan.

Usaha untuk menanam 26 juta pokok ini bersempena Sambutan Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April.

Pelancaran kempen ini juga selari dengan ‘Program Penghijauan Wilayah Persekutuan’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Pelancaran kempen menanam 26 juta pokok akan diadakan di Presint 5, Putrajaya membabitkan kawasan seluas 10 ekar iaitu sebuah kawasan lapang berdepan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis pelancaran penanam 26 juta pokok dilancar serentak di seluruh negara dengan 500 pokok ditanam di Putrajaya.

Jumlah pokok yang ditanam seluruh negara pada majlis pelancaran yang diadakan serentak itu adalah 16,200 pokok dan penanaman seterusnya akan dijalankan secara berperingkat untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 juta pokok menjelang akhir kempen berkenaan.

Kempen menanam 26 juta pokok bersempena Sambutan Hari Bumi ini disambut bagi membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap masalah dihadapi oleh bumi. Kesedaran ini diperlukan untuk menyelamatkan bumi supaya kehidupan bumi tidak mengalami kepupusan.

Walaupun usia bumi dianggarkan 3.8 bilion tahun, namun sambutan diadakan pada tahun ini adalah untuk ulang tahun ke-40.

Ekosistem yang tidak stabil menjadikan cuaca yang tidak menentu sekali gus mengakibatkan bumi berdepan kejadian bencana alam dan ancaman keselamatan dan kesihatan manusia yang menurut World Health Organisation (WHO), perubahan iklim global secara langsung atau tidak langsung menyebabkan 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia Pasifik.

Selain sambutan Hari Bumi Sedunia, majlis ini diadakan sempena ‘Tahun Biodiversiti Antarabangsa’ dengan tujuan utama untuk melaksanakan program dan aktiviti yang memberikan pendedahan kepada masyarakat berhubung kepentingan biodiversiti dan tanggungjawab untuk mengurus dan memulihara biodiversiti.

Kepelbagaian biologi atau biodiversiti di negara mega diversiti merangkumi lebih 60 peratus daripada spesies yang diketahui di dunia.

Menyedari kepentingan kerjasama sedunia di dalam usaha pemuliharaan biodiversiti, pemimpin dunia menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity-CDB) pada 1992 ketika Earth Summit, Rio de Janeiro, Brazil.

Persidangan CBD ke-7 yang berlangsung di Malaysia pada 2004, menetapkan 2010 sebagai sasaran penurunan di dalam kehilangan sumber biologi. Selaras dengan itu juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Biodiversiti Antarabangsa (International Year Of Biodiversity 2010).

Sehubungan itu, dengan penganjuran pelbagai aktiviti di seluruh negara pada tahun ini, diharapkan masyarakat Malaysia dapat bekerjasama bagi menjamin masa depan berkekalan untuk generasi akan datang.




TAHUKAH ANDA?

1. Kesan Rumah Hijau berpunca daripada pembebasan bahan pencemar udara seperti asap dari kilang dan kenderaan. Penggunaan penyembur aerosol(cth, ubat nyamuk), sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin yang membebaskan CFC(kloroflorokarbon)juga menyumbang kepada kesan pemanasan global ini.

2. Kempen Earth Hour merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF), ia dilaksanakan dengan mematikan semua lampu dan peralatan elektrik selama satu jam, bertujuan untuk mengurangkan pembebasan karbon ke udara sekali gus mengurangkan pemanasan global

3. Beg plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberi impak yang lebih besar kepada alam sekeliling termaasuk manusia.

4. Mod sedia di peralatan elektrik seperti lampu neon hijau, merah dan kerlipan perkataan akan kelihatan pada televisyen, permainan video, stereo, komputer dan lain-lain peralatan elektrik. Mod sedia adalah petunjuk kepada pembaziran elektrik kerana penggunaan mod sedia boleh mengurangkan sehingga 100kw jam setahun iaitu lebih kurang RM22/setahun. Bagi penggunaan elektrik dengan cekap, pastikan kesemua suis peralatan elektrik ditutup.

5. Kitar semula dapat menyelamatkan hutan. Ia kerana untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.

6. Mentol. Jika 6 juta rumah menggantikan 100W mentol bulat atau tungsten kepada lampu neon atau lampu fluorescent kompak 20W, ia akan menyebabkan penjimatan elektrik yang mencecah hampir 1.56bilion kW/j, iaitu bersamaan dengan penjimatan sebanyak hampir RM615 juta setahun.

7. 'Screen Saver' di komputer. Ia hanya membazirkan tenaga. Kebanyakkan komputer menggunakan 2 kali ganda tenaga elektrik untuk menyalakan skrin berbanding tenaga yang digunakan untuk proses dalaman. Tujuan utama 'screen saver' diwujudkan adalah untuk mengelakkan skrin terbakar oleh imej yang konstan, namun ia tidak diperlukan lagi pada zaman serba moden ini. Jika anda ingin menjimatkan tenaga, anda jimatkan penggunaan elektrik boleh menetapkan 'screen saver' kepada 'tiada' @ 'skrin kosong'

8. Label penjimatan. Rujuk label pengelasan kecekapan elektrik apabila membeli barang elektrik. Mengikut standard Malaysia, produk akan dilabel kecekapan penggunaan tenaganya antara 1 hingga 5 bintang. Label 5 bintang sebagai paling cekap tenaga.

9. Bateri. Satu bekalan tenaga sampingan yang digunakan oleh semua. Namun dalam tidak sedar, penggunaan gagal melupuskan bateri dengan baik selepas peranti itu tidak lagi mampu mengalirkan kuasanya. Pasti ramai yang tidak membuang bateri dengan baik selepas digunakan dan hanya melontarkannya ke dalam tong sampah. Cuba bayangkan jika sebahagian 28 juta rakyat negara ini membuang sebiji bateri seminggu, apa akan terjadi??? Pembuangan bateri yang tidak digunakan akan menyebabkan toksik plumbum tersebar secara meluas di permukaan bumi. Jika plumbum tersebut memasuki tubuh kita, ia akan menyingkirkan logam-logam yang lain yang berguna dalam tubuh manusia lalu menyebabkan kesan tertentu. Logam-logam yang disingkir termasuk zat besi, zink, raksa dan kuprum. Kekurangan bahan-bahan tersebut boleh menjejaskan pembentukan sel darah merah normal sekali gus bahaya untuk kesihatan manusia.





INOVASI PENGURUSAN SAMPAH


Konsep Rawat Dan Jana
Konsep pengurusan sampah membabitkan sistem pengumpulan, pengangkutan dan penghapusan yang efisien dan seharusnya sangat efektif, khususnya dari segi teknologi pelupusan.

Ini kerana timbunan sampah yang tidak diurus dengan baik akan menimbulkan kesan yang negatif terhadap alam sekitar seperti bau busuk, pengaliran air kotor (leachate) ke dalam sungai dan pembebasan gas merbahaya umpamanya karbon dioksida dan metana daripada tapak pelupusan sampah itu sendiri.

Pengurusan sampah di Selangor dan Lembah Klang kini lebih berinovatif dengan adanya loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse Derived Fuel (RDF) yang beroperasi di Semenyih Kajang.

Projek perintis ini bermula pada tahun 2006 melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Kajang, firma bumiputra Recycle Energy Sdn Bhd (RESB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Loji RDF ini adalah sistem dua dalam satu yang mampu memproses serta merawat sampah yang dibuang oleh pendudduk setempat dan dalam masa yang sama boleh menjanakan tenaga eletrik daripada sampah terbabit.

Skematik Proses

Berbanding dengan tempat pelupusan sampah konvensional yang hanya sekadar melambakkan sisa sampah dengan banyaknya, teknologi RDF ini mempunyai mekanisme pintar untuk mengurus dan merawat antara 700 dan 1000 tan sampah dalam sehari.

Proses yang digunakan adalah cukup mudah, bermula dari penghantaran sampah ke tempat pengumpulan sisa-sisa pepejal yang terdapat di loji RDF ini.

Sistem unik ini mampu untuk membuat pemilihan sampah yang mempunyai bahan boleh bakar agar ia boleh dikitar semula menjadi pelet (butir-butir kecil) yang dinamakan RDF untuk dijadikan sumber bahan api.

RDF yang dihasilkan oleh loji ini mempunyai ciri-ciri kemeruapan yang tinggi, mudah terbakar dan mempunyai nilai kolorifik yang rendah disebabkan kandungan kelembapannya di dalam kadar antara 20 dan 30 peratus.

Istimewanya RDF ini ialah ia boleh diubahsuai dan dicampur aduk dengan bahan buangan yang lain mengikut kesesuaian untuk menghasilkan pelbagai jenis pelet yang berlainan jenis dan karakter.

Ia juga boleh digunakan sebagai bahan api untuk kilang pemprosesan simen atau kilang penghasilan batu-bata, dek kerana harga pasarannya yang jauh lebih murah berbanding arang batu.

Bagi bahan tidak boleh bakar pula, ianya boleh diasingkan secara mekanikal daripada sisa sampah pejal ini.

Bahan yang berguna seperti plastik, kaca, botol, bahan logam dan kertas akan dijadikan bahan kitar semula yang bernilai dan boleh dijual kepada kilang-kilang yang berminat untuk mendapatkannya.

Kebaikan sistem inovatif ini ialah pada akhir proses, hanya 10 peratus sahaja amaun sisa sampah pepejal yang tingal.

Bahan lengai ini yang terdiri daripada pasir,batu dan kayu boleh dibuang dengan selamat di tempat pelupusan sampah tanpa meninggalkan sebarang kesan pencemaran.

Penjanaan Tenaga

Tambah menarik, telah dibina sebuah loji penjanaan tenaga yang telah direka cipta untuk menggunakan pelet RDF sebagai sumber bahan apinya di kawasan berdekatan dengan loji rawatan sampah ini.

Loji ini terdiri daripada generator stim, set generator extraction-condensing turbo, sistem elektrikal yang digunakan untuk mengeksport tenaga, sistem penyejuk, sistem transformer dan loji rawatan air kotor (leachate) yang berupaya merawat air dan sampah-sarap sehingga mencapai piawaian tahap A.

Penghasilan tenaga daripada loji ini boleh mencecah sehingga 9 megawatt (MW) dan dikatakan mampu menjana kuasa secukupnya untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik untuk sebuah bandar kecil seperti Kajang.

Satu usahasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah ditandatangani untuk membolehkan loji ini membekalkan sebanyak 5.5 MW tenaga elektrik kepada syarikat utiliti gergasi di Malaysia itu.

Kesimpulanya, konsep pengurusan sampah secara rawat dan jana ini sangat membanggakan kerana ia merupakan hasil titik peluh dan cetusan idea daripada anak tempatan kita sendiri yang prihatin untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.

Ternyata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama lebih empat tahun untuk menguruskan sampah kini sudah tercapai matlamatnya apabila loji RDF ini diakui mempunyai teknologi pengurusan sampah yang terbaik di Asia Tenggara.

Oleh itu, amatlah diharapkan agar sistem berinovasi ini tidak hanya tertumpu kepada pengurusan sampah di sekitar Lembah Klang dan Selangor sahaja, tetapi juga dapat dipraktikkan di seluruh Malaysia untuk memberi sokongan yang bersepadu ke arah pemuliharaan dan pembaikan alam sekitar.

Sumber : estidotmy, Ogos 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan