Pengenalan
Sistem pendidikan format atau moden di Tanah Melayu bermula sejak zaman penjajah Inggeris. Sekolah pertama dibina ialah Penang Free School. Walau bagaimanapun, usaha Inggeris itu sebenarnya bukan bertujuan untuk memajukan orang Melayu, melainkan untuk menghalalkan penjajahan. Selain itu, ia bertujuan untuk mengelakkan tuduhan penindasan terhadap rakyat Malaysia daripada parti-parti politik di Britain dan pertubuhan dunia. Usaha menjadikan sistem pendidikan ke arah membentuk negara bangsa bermula selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Penyata Razak (1956) telah menjadi asas pengubalan Ordinan Pelajaran 1957. Ordinan ini menyarankan satu sistem pelajaran yang memenuhi keperluan negara diwujudkan. Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia atau bahasa Inglish) telah dijadikan Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah. Laporan Penyata Razak, “... hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar ....” Laporan Penyata Rahman Talib (1960) menyarankan agar laporan Penyata Razak dipertingkatkan. Ia menjadi asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menghendaki sistem pendidikan negara diperkemaskan agar lebih berkesan.
Cadangan Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib yang menghendaki satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam untuk semua kaum dengan menggunakan bahasa sama sebagai bahasa pengantar terbukti sangat penting apabila pada 13 Mei 1969 berlaku rusuhan kaum. Kebaikan utama peristiwa berdarah itu ialah memberi kesedaran kepada kerajaan, khususnya pemimpin politik, agar mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi. Sejak itu kerajaan menggubal banyak dasar yang bertujuan merapatkan hubungan kaum dan perpaduan. Pelbagai dasar telah diperkenalkan, termasuk Rukun Negara yang bertujuan;
ü Mencapai perpaduan erat rakyat pelbagai kaum;
ü Memelihara satu cara hidup demokratik;
ü Mencipta satu masyarakat adil dan menikmati kemakmuran secara bersama dan saksama;
ü Menjamin satu masyarakat liberal terhadap kebudayaan; dan
ü Membina satu masyarakat progresif yang menggunakan Sains dan Teknologi moden.
Usaha mencapai cita-cita di atas adalah berlandaskan lima prinsip, sebagaimana yang berikut;
ü Kepercayaan kepada Tuhan;
ü Kesetiaan kepada raja dan negara;
ü Keluhuran perlembagaan;
ü Kedaulatan undang-undang; dan
ü Kesopanan dan kesusilaan.
Kesan positif lain peristiwa 13 Mei 1969 ialah pengisytiharan Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini bertujuan membina perpaduan dan kemajuan rakyat melalui serampang dua mata, iaitu;
ü Membasmi kemiskinan dengan meninggikan taraf pendapatan dan menambahkan peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
ü Mempercepatkan proses penyusunan masyarakat Malaysia untuk membaiki keadaan ekonomi yang tidak seimbang agar dapat mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Bagi menyokong usaha-usaha kerajaan di atas, pada tahun 1974, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengkaji sistem pelajaran negara. Laporan Jawatankuasa Kabinet agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan masyarakat bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Ciri-ciri masyarakat yang dikehendaki ialah;
ü Mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai rakyat Malaysia;
ü Menghormati dan mematuhi undang-u ndang serta perraturan, berdasarkan bekerja atau membuat sesuatu hingga sempurna, menghormati hak-hak individu, mengamalkan ti ngkah laku yang baik dan tidak menjejaskan kepentingan orang lain, menghhormati dan mempunyai semangat memperbaiki keadaan secara membina, dan bersedia berkhidmat untuk negara; dan
ü Mendapat pendidikan dan latihan supaya boleh menyertai dengan berkesan dalam kegiatan pembangunan negara.
Untuk mencapai cita-cita di atas, Jawatankuasa Kabinet mengemukakan beberapa perakuan yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara. Perakuan tersebut ialah;
ü Pendidikan peringkat asas memberikan penegasan dalam bidang membaca, menulis dan mengira;
ü Memenuhi kehendak pendidikan ke arah perkembangan individu secara menyeluruh;
ü Memenuhi pendidikan negara ke arah perkembangan bakat kanak-kanak;
ü Meningkatkan pengetahuan, nilai disiplin, kemahiran yang pelbagai dan berdedikasi;
ü Berfikir dan bertindak dengan baik berpandukan akhlak yang mulia; dan
ü Individu yang dihasilkan dalam sistem pendidikan negara adalah selaras dengan pembanugnan kemanusiaan.
Laporan Jawatankuasa Kabinet menjadi asas Kementerian Pendidikan Malaysia menggubal dan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan mulai tahun 1982, dan Kurikulum Bersapadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan mulai tahun 1988. Berlandaskan hasrat dan cita-cita yang terkandung dalam Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet, Rukun Negara dan dasar-dasar kerajaan, maka Kementerian Pendidikan telah merangka satu falsafah pendidikan sebagai pegangan dan arah tuju pendidikan nasional.
Penyataan Falsafah Pendidikan, Matlamat dan Objektif Pendidikan
(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu, masyarakat mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan masyarakat. Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia yang tidak mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan misi, matlamat, peraturan dan undang-undang. Antara aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
(b) Matlamat Pendidikan
Bagi mencapai pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Untuk Bahasa Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
(c) Objektif Pendidikan
Setiap sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi semakan) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah.
I. mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan cinta akan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan